MyETF Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25, atau MyETF-DJIM25 adalah Dana Dagangan Bursa (ETF) berlandaskan Syariah yang pertama dilancarkan di Asia.
Apakah itu ETF? ETF adalah dana unit amanah yang tersenarai dan didagangkan di bursa saham dan dilaburkan dalam portfolio sekuriti bagi tujuan mendapatkan pulangan yang sejajar dengan prestasi suatu indeks penanda aras. Bagi MyETF-DJIM25, indeks penanda arasnya ialah Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25 Index.
ETF menawarkan para pelabur cara yang mudah dan menjimatkan untuk mendapatkan pendedahan kepada kumpulan sekuriti yang membentuk indeks penanda aras, dengan hanya satu urusniaga.
ETF diuruskan oleh i-VCAP Management Sdn. Bhd., manakala penasihat teknikalnya terdiri daripada BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn. Bhd., iaitu ahli BNP Paribas Group yang merupakan salah satu pengurus ETF yang terbesar di dunia.
Penyedia indeks ialah Dow Jones & Company, Inc., iaitu penyedia indeks patuh Syariah yang pertama.